Kepimpinan Tertinggi UMNO harus mendengar suara HATI RAKYAT dan ahli-ahli UMNO

Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Fahariyah Md Nordin berkata, pembangkang boleh dikatakan meraih kejayaan besar jika mereka berjaya melemahkan Umno Johor.

 
Beliau yang juga ketua puteri UMNO Ledang menambah, ahli-ahlinya perlu terus mempertahankan UMNO apatah lagi Johor adalah negeri kelahiran parti keramat ini.
"Justeru, saya menyeru semua ahli UMNO khususnya anggota Puteri supaya jangan hilang fokus dalam perjuangan parti terutamanya mengekalkan momentum untuk berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Ahli UMNO harus menjadikan platform persidangan Umno peringkat bahagian bermula 1 Ogos ini untuk melahirkan pandangan, pendapat mahupun kritikan berguna demi memperkukuhkan parti, memperkemaskan muafakat," katanya lagi, memetik laporan Umno Online.
Umno Johor dikatakan mengalami pergolakan setelah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti itu atas alasan disiplin.
Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu semua ahlinya akur dengan keputusan itu, bersikap rasional dan menerima keputusan ini sebagai satu ujian.
"Saya percaya bahawa tindakan ini bukanlah satu tindakan yang memeranjatkan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat seperti Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Tonggak bagi mana-mana parti adalah asas disiplin dan yang menguatkan Umno selama ini disiplin. Isu ni dah berlarutan. Apatah lagi tindakan untuk bersama-sama dan bersekongkol dengan pembangkang," ujar Mohamed Khaled.
Mengulas lanjut, Fahariyah berkata, Umno harus terus dijaga, dibelai dan diperkukuhkan oleh ahli Umno.
Pada masa yang sama, ujar beliau, kepimpinan tertinggi Umno harus mendengar suara hati rakyat dan ahli-ahli Umno agar segala pandangan, saranan mahupun kritikan dapat membuahkan hasil yang baik kepada parti.
"Dengan pelbagai isu yang timbul dan melanda parti, tidak dapat dinafikan ada segelintir ahli mula berasa keliru dan goyang hatinya. Kerana itulah mesyuarat bahagian ini penting untuk dihadiri oleh ahli terutama golongan muda.
“Jadi kita akan dapat memberikan pandangan dan suara anak muda akan difahami kerana zaman kini adalah zaman generasi pelapis,” ujarnya.

Sumber : Klik Sini

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016