Dapatkan Tiket AirAsia Serendah RM10 Sempena Hari ASEAN
KUALA LUMPUR 7 Ogos - AirAsia menawarkan tambang promosi, bermula dari RM10, ke destinasi ASEAN sempena Hari ASEAN esok.
Tambang asas sehala itu, tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi dan perkhidmatan pilihan lain dan penumpang boleh meneroka destinasi di semua 10 negara ASEAN - Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar, menurut AirAsia dalam kenyataan.
Pada masa sama, penumpang juga boleh mengambil peluang daripada tambang rendah ke destinasi selain ASEAN dengan rangkaian AirAsia dan AirAsia X yang meliputi Asia Utara, Asia Selatan, Timur Tengah, Australia dan Afrika.
Mereka yang melakukan penerbangan dengan AirAsia X juga boleh menaik taraf kepada tempat duduk Flatbed Premium - yang menawarkan keselesaan yang tiada tandingan dalam segmen kabin tambang rendah bagi penerbangan jarak jauh - dari hanya RM698, tambang asas sehala tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi dan perkhidmatan pilihan lain.
Tambang promosi itu boleh ditempah dari 8 Ogos 2016 hingga 14 Ogos, 2016 untuk perjalanan antara 9 Ogos 2016 dan 6 April 2017.
Ia boleh digunakan bagi penerbangan AirAsia yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines, Malaysia AirAsia X, Thai AirAsia X dan Indonesia AirAsia X.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata: "AirAsia berbangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang melakukan penerbangan terus ke semua 10 negara ASEAN.
"Kami juga satu-satunya syarikat penerbangan dengan produk ASEAN Pass, yang memberi kemudahan kepada penumpang kami untuk meneroka rangkaian kami dan menikmati kepelbagaian dan warisan budaya yang menarik di rantau ini."
Pemegang AirAsia ASEAN Pass dan AirAsia ASEAN Pass+ juga boleh menikmati penerbangan pada kadar rata di lebih 120 laluan di seluruh ASEAN .
Bertindak seperti mata wang tunggal, pas tersebut mengurangkan masalah kadar pertukaran asing yang berbeza berikutan penerbangan dinilai mengikut kredit, membolehkan penumpang merancang perjalanan mereka dengan baik di rantau ini. - BERNAMA