Skip to main content

Naik taraf pencawang elektrik antara langkah atasi gangguan perkhidmatan LRT -Najib Razak-

                                 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Sebanyak 15 pencawang elektrik di sepanjang laluan Transit Aliran Ringgan (LRT) Kelana Jaya akan dinaik taraf serta-merta sebagai salah satu langkah segera untuk memastikan gangguan perkhidmatan seperti yang berlaku pada 7 dan 9 September lalu tidak berulang. 


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerja-kerja naik taraf yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan itu akan memastikan sistem elektrik untuk kegunaan LRT bagi laluan berkenaan dapat dipanjangkan jangka hayatnya serta berupaya menampung keperluan semasa mahupun pada masa hadapan.

Katanya, naik taraf pencawang elektrik tersebut merupakan salah satu daripada empat langkah segera yang diarahkan kerajaan untuk dilaksanakan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar masalah serupa tidak terus membelenggu pengguna.

“Hari ini saya telah mengadakan perbincangan dengan Pre­siden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz serta SPAD. Azmi telah membentangkan hasil siasatan awal yang menunjukkan terputusnya bekalan elektrik mengakibatkan gangguan per­­­­khi­d­­­matan pada tarikh berkenaan.

“Kerajaan dan saya secara peribadi menganggap gangguan perkhidmatan itu sebagai perkara yang amat serius dan saya telah mengarahkan Prasarana dan SPAD menyiarkan butiran hasil siasatan sebaik sahaja siasatan selesai sepenuhnya,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, ratusan pengguna LRT laluan Kelana Jaya terpaksa berjalan di aras trek ketika cuaca hujan apabila gerabak LRT tersebut tiba-tiba gagal berfungsi, hanya selepas dua hari kejadian serupa berlaku sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Najib berkata, beliau juga telah mengarahkan Prasarana agar me­lantik Penilai Teknikal Bebas untuk menjalankan penilaian secara terperinci ke atas keseluruhan sistem yang ada, memadangkan LRT Kelana Jaya sudah hampir 20 tahun beroperasi.
Tambahnya, Prasarana juga diarahkan untuk melakukan peni­lai­an semula terhadap kese­luruhan operasi mereka, bagi mengukuhkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada syarikat itu, agar kapasiti semasanya berupaya menampung permintaan yang kian meningkat.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Prasarana juga telah memberi jaminan untuk memperkenalkan gerabak LRT yang baharu bagi laluan tersebut secara berperingkat-peringkat mulai November ini yang diyakini berupaya menambahkan kapasiti sekali gus me­ngurangkan kesesakan pada waktu puncak.

“Inilah langkah-langkah segera yang telah saya arahkan untuk dilaksanakan oleh Prasarana dan SPAD bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengguna LRT, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat,” ujarnya.

~utusan~

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016