MALAYSIA : KOS PENERBANGAN PALING RENDAH



MALAYSIA berada pada kedudukan kedua dalam kalangan negara di dunia yang menawarkan tambang atau kos purata penerbangan paling rendah bagi laluan domestik dan antarabangsa. 


Menurut kajian agensi pengembaraan dalam talian, Kiwi.com menerusi Indeks Harga Penerbangan 2016, Malaysia mencatatkan kos AS$3.78 (RM15.43) bagi penerbangan setiap 100 kilometer (km), lebih tinggi hanya AS$0.53 (RM2.17) berbanding India pada kedudukan pertama dengan AS$3.25 (RM13.27). 

Berdasarkan pecahan bagi penerbangan domestik, Malaysia merekodkan kos penerbangan AS$2.32 (RM9.47) untuk penerbangan tambang rendah, manakala penerbangan premium AS$5.81 (RM23.72). 

Bagi penerbangan antarabangsa pula, Malaysia mencatatkan kos penerbangan kategori tambang rendah AS$2.11 (RM8.61), manakala penerbangan premium AS$4.88 (RM19.92). 

Kajian Kiwi.com membabitkan lebih sejuta laluan domestik dan antarabangsa turut menunjukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan kos penerbangan paling mahal dengan purata AS$105.71 (RM431.60). 

Sebagai syarikat yang menawarkan nilai harga tiket terbaik, Kiwi.com menjalankan penyelidikan untuk membantu pelancong mencari tawaran paling sesuai di seluruh dunia. 

Bagi menentukan kedudukan, Kiwi.com menganalisis lebih sejuta penerbangan bagi memperoleh harga purata untuk laluan domestik dan antarabangsa daripada syarikat tambang rendah hingga premium setiap negara.

Kedudukan penerbangan domestik dikira berdasarkan purata kos penerbangan dari ibu negara ke lima bandar utama di negara berkenaan atau bandar utama di negara jiran yang tiada penerbangan domestik. 

Kos penerbangan antarabangsa pula dikira dari ibu negara setiap negara ke lima hab antarabangsa di benua sama. 

"Indeks Harga Penerbangan adalah panduan menarik untuk kos perjalanan udara seluruh dunia. 

"Kami sentiasa menyediakan tawaran terbaik kepada pengembara dan berharap indeks ini dapat memberi maklumat kepada pelanggan berhubung negara mereka boleh memperoleh tiket paling efektif dan membantu mereka menempah perjalanan dengan nilai terbaik," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kiwi.com, Oliver DlouhĂ˝. 

Berdasarkan indeks itu, China menawarkan kos penerbangan antarabangsa paling rendah bagi penerbangan kos rendah dan premium, masing-masing AS$1.22 (RM4.98) dan AS$2.84 (RM11.60) bagi setiap 100 km. 

UAE pula menawarkan penerbangan domestik paling mahal iaitu AS$181.38 (RM740.55) bagi penerbangan kos rendah dan AS$202.36 (RM826.21) untuk penerbangan premium membabitkan perjalanan udara setiap 100km. 

Kanada pula menawarkan kos penerbangan antarabangsa paling mahal bagi penerbangan kos rendah dan premium, masing-masing AS$43.70 (RM178.42) dan AS$94.66 (RM386.48).


Sumber: BH 13.09.2016

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016