Skip to main content

Gelanggang mega adinda platform interaktif wanita muda suarakan pandangan -Mas Ermieyati Samsudin-


 
Pewaris pemimpin muda 



KUALA LUMPUR 20 Nov. - Gelanggang Mega Adinda merupakan pentas perdebatan paling ideal untuk golongan wanita muda menyuarakan pandangan dan idea secara terbuka, berpegang kepada prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.




Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, gelanggang itu boleh dijadikan platform untuk memantapkan seni percakapan atau pengucapan awam selain untuk mendapatkan maklum balas wanita muda secara dua hala.

"Ia juga memupuk semangat kekitaan dalam masyarakat. Isu yang didebatkan merupakan isu nasional yang menyentuh keseluruhan lapisan masyarakat.

"Pastinya, gelanggang ini akan menambah keyakinan wanita muda untuk tampil di khalayak dan menyuarakan isi hati ataupun pendapat, sekali gus melahirkan wanita muda yang matang tetapi juga berani menyuarakan pandangan dan menyampaikan hujah-hujah mereka, bukan sahaja lantang di media sosial tetapi secara terbuka," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Mega Adinda di sini hari ini, Mas Ermieyati berkata, menerusi program seumpama itu, pandangan wanita muda dapat diangkat bagi menambah baik polisi kerajaan sedia ada serta mewujudkan polisi baharu dalam memperkasakan golongan wanita muda.

Program Gelanggang Mega Adinda yang julung kali diadakan itu adalah platform mengumpul idea bernas daripada wanita muda pelbagai latar belakang untuk dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO 2016, yang akan diadakan selama lima hari mulai 29 November ini.

Program dua hari yang bermula semalam itu dihadiri kira-kira 120 peserta berusia 18 hingga 25 tahun, melibatkan sesi debat terbuka ala Parlimen dalam bahasa Melayu dan Inggeris meliputi topik ekonomi, pendidikan sosial, undang-undang, agama dan politik. - BERNAMA

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

Ulangtahun Ke-15 Tahun Pergerakan Puteri UMNO Malaysia