Puteri UMNO Bangkit 4 Usul Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016

AYER KEROH, 19 NOV 2016 - Puteri UMNO akan fokus usaha memperkukuhkan jentera pilihan raya, khususnya di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini.


Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata usul berkenaan antara lain untuk memastikan usaha mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. 

Tiga lagi usul, katanya ialah memperkasa ekonomi wanita muda, sosial dan agama akan dibincang dan dibahaskan pada perhimpunan agung berkenaan.

"Intipati yang akan diangkat pastinya persiapan menghadapi PRU ke-14 mengenai agenda serta peranan kita untuk memperkukuhkan jentera Puteri dalam menagih serta mendapatkan sokongan akar umbi khususnya wanita muda," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, ditemui selepas menyertai Pertandingan Bowling Bersama Media anjuran bersama Jabatan Pelancongan Melaka dan Tourism Malaysia Melaka di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Pengarah Pelancongan negeri, Jeffri Munir dan Pengarah Toursim Melaka, Amirul Ariffin Md Nasir.

Mas Ermieyati berkata, keahlian Puteri secara automatik juga akan dibincangkan sebagai kesinambungan cadangan dikemukakan sayap berkenaan pada mesyuarat beberapa bahagian sebelum ini.

Katanya, langkah terbabit secara tidak langsung dapat memperkasakan Puteri di peringkat cawangan, selain menghidup dan menyemarakkan lagi peranan ahli sayap itu di cawangan.

"Keahlian Puteri ada dua kategori iaitu secara automatik dan berusia 35 hingga 40 tahun. Saya pulangkan semula kepada perwakilan untuk membincang dan membahaskannya. Pastinya, saya melihat perkara yang relevan ketika ini ialah usaha mendapatkan keahlian secara automatik.

"Itu adalah cara kita menghidup dan menyemarakkan lagi peranan Puteri di peringkat cawangan, bukan hanya mendapatkan keahlian semata-mata," katanya. - BERITA HARIAN

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016