Pembantaian di Rakhine: Segera Letakkan Tekanan Ke Atas Myanmar - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menggesa badan-badan komuniti antarabangsa supaya segera meletakkan tekanan kepada kerajaan Myanmar berikutan insiden pembantaian etnik Rohingya di Rakhine.

(gambar hiasan)
Beliau yang kesal dengan tindakan tentera Myanmar yang menindas dan membunuh etnik Rohingya bermula 9 Oktober lalu mendesak perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Kesatuan Eropah (EU).

"Penindasan ini sama sekali telah melanggar hak asasi manusia dan lebih memalukan bila pemenang Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi mengambil pendekatan berdiam diri," jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Bangladesh juga dikatakan bersekongkol dengan Myanmar dengan menutup pintu sempadan dan menyekat akses bantuan kemanusiaan serta terdapat penyalahgunaan kuasa terhadap etnik Rohingya khususnyya kaum wanita dan kanak-kanak.

PBB, menurut Mas Ermieyati, diperlukan untuk menghantar pasukan pengaman ke Arakan bagi menghentikan sebarang usaha pembersihan etnik Rohingya dan mengembalikan segala asas kebebasan termasuk kebebasan bergerak, berkahwin, pendidikan, kesihatan dan kehidupan yang aman.

Dalam kenyataan itu juga beliau memohon untuk Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi ditarik balik kerana beliau tidak membantu dalam menyelesaikan konflik etnik Rohingya.

Selain itu, Puteri UMNO menuntut janji pemerintah Myanmar pada 2015 untuk beri komitmen verifikasi kewarganegaraan Rohingya dan menghulur segala bantuan yang diperlukan.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan mengharapkan agar etnik Rohingya mempunyai hak dan masa depan untuk hidup secara aman sama seperti etnik-etnik yang lain. -AWANI

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016