Bantu Melayu, Bumiputera. Dap Tidak Boleh Menipu Semua Orang Sepanjang Masa

PULAU PINANG,  – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Zaidi Mohd Said mengingatkan pemimpin Dap agar tidak terus membuat kenyataan palsu terutama menyatakan pendirian parti mereka yang kononnya sentiasa membantu orang Melayu yang terpinggir dan menyokong kedudukan hak istimewa bumiputera.
Jelasnya, jika renung kembali segala tindak tanduk Dap selama ini ternyata ia tidak sedikitpun menggambarkan bahawa mereka menyokong kedudukan hak istimewa bumiputera.

“Dap jangan buat-buat lupa sebelum ini mereka dan rakan sekutu begitu lantang bersuara menidakkan keistimewaan hak bumiputera kononnya untuk kesamarataan sedangkan ini adalah cara mereka untuk menyebarkan fahaman pluralisme dan liberalisme.
“Mereka juga mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu, bumiputera termasuk MARA, UiTM, biasiswa, hak dalam urusan agama Islam dan lain-lain. Sebab itu mereka mempertikaikan hak istimewa orang Melayu yang telah dimaktubkan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 153 yang memberi rizab kepada orang Melayu membabitkan tiga aspek, iaitu perkhidmatan awam, pendidikan dan ekonomi termasuk hal berkaitan tanah rizab Melayu.
“Adakah ini yang menggambarkan mereka itu menyokong hak bumiputera… agaknya mereka lupa apa yang pernah mereka katakan dulu tetapi jangan lupa, rakyat masih ingat,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Zaidi, di Pulau Pinang sendiri telah terbukti bagaimana kepimpinan Dap sebagai kerajaan negeri seakan mengenepikan pembelaan terhadap orang Melayu.
“Perkampungan Melayu seperti Kampung Tanjong Tokong, Kampung Mutiara di Batu Feringghi dan Kampung Batu Uban menjadi mangsa kerakusan kerajaan Dap untuk memberi laluan kepada projek pembangunan mewah yang tidak mampu dimiliki golongan yang tidak berkemampuan.
“Bukan itu sahaja malah satu demi satu kawasan perniagaan orang Melayu dirobohkan di Pulau Pinang. Apakah ini yang dikatakan membela nasib Melayu terpinggir?, soalnya.
Justeru tegas beliau, Dap tidak perlu terus bersandiwara dan mereka mesti ingat mereka boleh menipu semua orang pada sesuatu masa tetapi mereka tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa . – MediaUMNO-

Popular posts from this blog

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016