Rakyat sokong SPRM bongkar rasuah di Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata rakyat di negara ini, khususnya di Sabah, menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar skandal rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.


 
Menteri Komunikasi dan Multimedia  (KKMM)


 Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM, Salleh berharap semua pihak memberikan kebebasan penuh kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan lanjut tanpa sebarang gangguan. 

"SPRM adalah satu badan yang bebas. Oleh itu sudah tentu mereka (SPRM) akan mengendalikan kes berkenaan secara profesional dan perkara itu (kebebasan) perlu kita hormati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori di Udara Sedunia kali ke-59 dan Jambori di Internet kali ke-20, di sini, hari ini.


Salleh turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa berkenaan kerana ia hanya akan merosakkan atau mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM. 

Sebelum ini, SPRM telah menahan lima individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes tersebut. 

SPRM antara lain turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan RM30 juta, sekali gus menjadikan kes ini adalah kes terbesar dalam sejarah SPRM. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas Bajet 2017, Salleh yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah mendengar permintaan semua pihak, khususnya rakyat di negara ini.

 "Saya yakin ia (Bajet 2017) akan memenuhi kehendak rakyat kerana bajet itu sudah tentu bertujuan untuk memastikan negara kita terus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, selain kerajaan sentiasa memastikan rakyat sentiasa menikmati kemudahan," katanya. 

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Salleh berkata jambori seumpama itu adalah satu pendedahan penting kepada pengakap mengenai penggunaan serta kepentingan teknologi radio komunikasi dan juga internet dalam menjalin hubungan baik, sekali gus mempromosikan Malaysia, khususnya Sabah.

 "Pada jambori ini, peserta akan menghubungi rakan pengakap sama ada di dalam atau luar negara melalui radio atau internet. Kemudian mereka akan bertukar kiriman poskad bagi membuktikan kejayaan serta penyertaan mereka dalam aktiviti ini. 


Katanya, penggunaan teknologi berkenaan dalam kalangan pengakap telah membuka lembaran baru dalam bidang berkenaan, terutama aspek mempermudahkan komunikasi atau perhubungan melalui internet dan ia mampu memastikan aktiviti kepengakapan terus relevan sesuai dengan tuntutan semasa. - BERNAMA


Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016