Langkawi Jadi Lapangan Terbang Antarabangsa ke-6 AirAsia
GEORGE TOWN: Potensi besar pertumbuhan di Langkawi mendorong AirAsia Bhd menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebagai hab antarabangsa keenam di Malaysia.
Syarikat penerbangan itu mempunyai hab antarabangsa di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata Langkawi menawarkan potensi luas untuk pertumbuhan susualn pelancaran penerbangan laluan ke Guangzhou, China pada awal 2016.
"Kami berhasrat mengadakan lebih banyak penerbangan ke dan dari Langkawi tahun depan dan menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab antarabangsa baharu bagi AirAsia.
"Ketika ini, AirAsia bergantung kepada pesawat kami dari Kuala Lumpur untuk mewujudkan kesalinghubungan ke Langkawi, namun tahun depan, kami berharap beberapa pesawat dapat berpangkalan di sana.
"Lazimnya, apabila kita mewujudkan hab, adalah ekonomi untuk menempatkan minimum dua pesawat di sana," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Pelancongan Dunia 2016 di sini, pada Isnin.
Aireen berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) kerap mencapai kapasiti penuh semasa musim perayaan.
"Tempat letak pesawat dan terminal kami sangat sesak semasa musim perayaan dan saya telah mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya memperluaskan lapangan terbang sedia ada atau membina terminal kos rendah lain khusus bagi memenuhi permintaan industri pelancongan.
"PIA menawarkan potensi besar kepada AirAsia namun ada kekangan infrastruktur. Lebih baik kami mempunyai terminal khusus untuk kos rendah di Pulau Pinang, supaya mudah memperkembangkan kesalinghubungan itu dengan destinasi semasa kami," katanya.
Aireen berkata syarikat itu turut menyasarkan peningkatan jumlah pesawatnya daripada 205 kepada 500 pesawat menjelang 2028 untuk memenuhi pertumbuhan luar biasa dalam industri pelancongan kos rendah.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu mempunyai lebih 275 laluan di 23 negara dan terbang ke lebih 117 destinasi, termasuk 85 laluan khusus kepada AirAsia.