SKMM Sekat 36 Laman Web Sebar Ideologi Militan Daesh

 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat 36 laman web dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Indonesia yang terlibat dalam penyebaran ideologi kumpulan militan Daesh.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata sekatan itu membabitkan 72 pautan internet (URL) dan pemadaman 12 akaun media sosial dan 29 kandungan video dengan kerjasama pengendali laman media sosial.

“Kita sedia maklum bahawa Daesh adalah kumpulan yang sangat mahir menggunakan media baharu dalam aktiviti penyebaran propoganda, meraih sokongan dana, merekrut ahli baru dan memutarbelitkan tafsiran ayat al-Quran.
“Ini jelas menjadi cabaran bagi pihak berkuasa dalam menangani kumpulan pengganas terbabit dalam penggunaan teknologi maklumat dan aplikasi dalam talian seperti Telegram dan Whatsapp,” katanya semasa berucap merasmikan Forum Isu Semasa: Ancaman Militan Daesh di Dewan Majlis Perbandaran di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan pemimpin kumpulan pengganas menjadikan mereka yang jahil agama dan mencari jalan mudah untuk mati syahid sebagai mangsa.
“Kejahilan dalam agama adalah faktor penting menjerumuskan seseorang menjadi pengganas kerana sebahagian besar suspek militan Daesh di Malaysia adalah mereka yang jahil agama dan mencari jalan mudah untuk mati syahid.
“Kita juga dapati seseorang yang dibesarkan dalam keadaan bermasalah dan keluarga bermasalah adalah antara faktor yang mendedahkan seseorang menjadi pengganas berdasarkan beberapa kes di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya.


_umno online_

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016