Jawapan,KENAPA PROGRAM PERMATApintar perlu diletakkan di JPM bukan di KPM.

 Biar saya jawab soalan ini dari perspektif PERMATApintar.
Sebenarnya, memang sepatutnya program seperti PERMATApintar yang menyediakan pendidikan untuk pelajar pintar dan berbakat diletakkan di bawah KPM. Namun terdapat kelompongan dalam polisi pendidikan yang tidak menjelaskan keperluan pendidikan pintar dan berbakat di Malaysia dan ini menyebabkan ramai antara keluarga yang mempunyai anak pintar dan berbakat mencari jalan keluar untuk mendapatkan pendidikan yang sepatutnya di negara lain. Bilangan dan kewujudan pelajar pintar dan berbakat adalah agak besar, 1 dalam 10,000. Jika mereka berterusan meninggalkan negara kita ini akan mengakibatkan negara kehilangan "the best brain" .

YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sedar akan masalah ini dan telah berjumpa dengan sebahagian besar anak-anak pintar dan berbakat ini di rumah beliau pada tahun 2008. Dari perjumpaan tersebut, beliau dengan seriusnya telah mencadangkan supaya program pendidikan untuk pelajar pintar dan berbakat di adakan di Malaysia kerana beliau sedar bahawa pelajar pintar dan berbakat memang ada di negara kita dan sebahagian mereka tinggal di luar bandar tanpa menerima sebarang sokongan dalam aspek pendidikan yang boleh melonjakkan potensi mereka.

YABhg Datin Seri telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan program ini dapat dilancarkan dengan jayanya. Ini tidak akan mudah berlaku jika program ini diletakkan di bawah mana-mana kementerian.

Sehingga kini PERMATApintar telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan kognisi yang tinggi. Mereka kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjanamuda, sarjana dan doktor falsafah di universiti terkemuka di luar dan dalam negara. YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sentiasa prihatin dengan perkembangan setiap pelajar PERMATApintar. Beliau juga sentiasa berusaha membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan untuk membayar yuran dan tidak keperluan asas pembelajaran di PERMATApintar.

Pada pandangan saya program ini dapat bergerak dengan pantas kerana ianya diletakkan di bawah JPM. Ini sama dengan program pendidikan pintar dan berbakat di Singapura yang meletakkan isteri Perdana Menteri Singapura sebagai penaungnya.

Dan rakyat Singapura begitu bersyukur kerana dengan adanya isteri Perdana Menteri Singapura sebagai penaung ia telah dapat bergerak dengan pantas demi membantu ramai pelajar pintar dan berbakat di negara tersebut untuk mendapat pendidikan yang terbaik. Saya pelik kenapa pula di Malaysia ianya dipertikaikan sedangkan YABhg Datin Paduka Seri telah membantu tanpa mengenal anak siapa. Bagi memastikan kesinambungan wujud dalam menyediakan pendidikan untuk anak-anak pintar dan berbakat, kini Kolej PERMATApintar UKM didaftarkan sebagai sekolah bantuan kerajaan dan diaudit oleh KPM.

Kita patut lihat negara sekeliling kita yang telah ada program pintar dan berbakat jauh lebih lama dari kita dan lihat peranan isteri ketua negara dalam membantu memastikan "the best brain" adalah kepunyaan negara tersebut.

Saya rasa tidak salah seorang isteri ketua negara membantu suaminya memastikan negara menyediakan pendidikan terbaik untuk rakyat negaranya. Itu barulah namanya yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Berjalannya pula adalah seiring demi mencapai matlamat negara yang disayangi.


Prof Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak
Pengarah
Pusat PERMATApintar Negara
Universiti Kebangsaan Malaysia

Popular posts from this blog

3 Lagenda Malaysia Gegarkan Paralimpik Rio 2016

CERGASKAN DIRIMU DI HARI SUKAN NEGARA 2016